Wednesday, 1 February 2012

Bayan Maulana Muhammad Yusuf II


Seruan Hadratji Maulana Muhammad Yusuf rah.a. Kepada Seluruh Umat Islam
Seruan Al-'Allamah Ad-Da'iyah Al-Muhaddith Asy-Syaikh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi kepada orang-orang Islam. Dipetik daripada "Perasaan Umat: Seruan Hadratji Maulana Muhammad Yusof rah.a. Kepada Seluruh Umat Islam" terbitan MN Mayun Enterprise, 2002, Kota Bharu, Kelantan. Boleh juga memuat turun versi English terjemahan Dr. Shamim Ahmad.
[Tiga hari sebelum Hadrat Syaikh meninggal dunia, yakni pada 29 hb Zulqaedah, 1384H bersamaan 2hb April, 1965M; hari selasa selepas solat Subuh; Hadrat Syaikh telah memberi satu ceramah terpenting yang terakhir dalam kehidupan beliau. Selepas Hamd (memanjat pujian kepada Allah) dan selawat, berlawanan dengan kebiasaan, Hadrat Syaikh telah mulai berceramah seperti berikut:]
Lihatlah, saya tidak seberapa sihat. Sepanjang malam saya terpaksa berjaga kerana tidak boleh tidur. Namun demikian saya terpaksa berkata sebab perkara ini adalah amat penting. Siapa pun yang memahaminya dan mengamalkannya maka Allah Taala akan meninggikannya dan memberikan kejayaan. Jika tidak, maka dia akan melumpuhkan kakinya sendiri.
Umat ini telah terbentuk dengan penuh susah payah. Untuk menjadikan umat ini, Rasulullah saw. dan Sahabat-Sahabat r.anhum telah banyak berusaha dan menanggung penderitaan. Musuh-musuh Islam yakni Yahudi dan Nasrani telah sentiasa berusaha supaya orang-orang Islam tidak ada sebagai satu umat, bahkan berpecah belah.
Hari ini orang-orang Islam sudah kehilangan sifat umat. Ketika dahulu, semasa mereka hidup sebagai satu umat, hanya dengan bilangan mereka beratus ribu orang sudah cukup untuk menguasai satu dunia. Mereka pada masa itu tidak mempunyai sesuatu. walaupun sebuah rumah dari batu bata. Masjid pun tidak dibina dengan batu bata. Lampu pun tidak dinyalakan di dalam masjid. Lampu telah dinyalakan di dalam Masjid Nabawi hanya selepas sembilan tahun sesudah Hijrah.
Sementara itu, kira-kira seluruh kaum Arab telah memeluk agama Islam. Manusia dari pelbagai kaum, yang bercakap dalam berbagai-bagai bahasa, dan dari berbagai-bagai kabilah telah menjadi satu umat yang bersatu-padu. Apabila kesemua perkara telah diselesaikan, maka barulah lampu telah dinyalakan di dalam Masjid Nabawi. Tetapi cahaya dari lampu hidayat telah dibawa oleh Baginda Rasulullah saw. sudah tersebar ke seluruh tanah Arab, bahkan ke kawasan-kawasan di luar daripadanya juga. Umat sudah terbentuk. Selepas itu umat telah bangun dan ke mana saja mereka tuju, maka negara demi negara telah jatuh di bawah kaki mereka.
Umat ini telah dibentuk secara begini; iaitu, tidak seorang pun di kalangan umat ini menjadi pembantu kepada keluarganya, bangsanya, saudara-maranya, kaumnya, tanahnya; tidak seorang pun yang menjadikan tujuannya mengawasi harta-benda atau anak-isteri; tetapi setiap seorang di kalangan mereka hanya melihat apakah kehendak Allah dan RasulNya. Pada zaman orang-orang Islam hidup sebagai satu umat, di mana-mana pun jika seorang Islam dibunuh, maka seluruh umat telah terkesan, bersimpati dan merasai kepedihan. Kini beribu-ribu dan berjuta-juta orang Islam telah disembelih tetapi kita tidak merasai apa-apa jua.
Umat bukanlah nama satu kaum atau satu golongan manusia yang bermukim di satu kawasan. Tetapi beratus-ratus bahkan beribu-beribu kaum yang tinggal di kawasan yang berlainan bersatu-padu menjadi satu umat. Sesiapa yang menganggap bahawa dia berasal daripada sesuatu kaum atau sesuatu daerah, dan orang lain berasal daripada sesuatu kaum atau sesuatu daerah yang lain, maka dia seolah-olah telah menyembelih umat ini, menghancur-leburkan serta merosakkan hasil usaha baginda Rasulullah saw. dan para Sahabat r.anhum. Apabila terpisah-pisah dan berpecah-belah, kita sendiri telah menyembelih umat ini terlebih dahulu. Yahudi dan Nasrani hanya mengerat umat ini yang sudah tersembelih. Sekiranya orang-orang Islam, hari ini menjadi umat seperti sedia kala, maka semua kekuatan di seluruh dunia sekalipun, tidak boleh menggerakkan walaupun sehelai bulu roma umat ini. Bom atom atau pun roket sekalipun, tidak boleh membinasakan mereka. Tetapi sekiranya mereka dengan semangat perkauman dan kedaerahan meneruskan fahaman menghancur-leburkan umat, maka demi Allah, senjata-senjata dan tentera-tentera kamu tidak boleh selamatkan kamu dari kemusnahan.
Hari ini orang-orang Islam di seluruh dunia telah dihimpit dan dibunuh dengan sebab kehilangan perasaan umat. Mereka telah menyia-nyiakan pengorbanan Baginda Rasulullah saw. Saya berkata tentang perkara ini dengan kepiluan di dalam hati saya, bahawa satu-satunya sebab semua kebinasaan dan kemunduran ini adalah kerana umat tidak lagi ada sebagai satu umat yang bersatu-padu; bahkan mereka telah lupa apa itu UMAT dan bagaimanakah baginda Rasulullah saw. telah membina umat ini!
"Untuk menjadi umat yang sebenar-benarnya dan supaya bantuan Allah bersama dengan orang-orang Islam, tidak cukup dengan hanya di kalangan mereka menghidupkan solat, zikir, madrasah dan kebiasaan mengajar dan belajar ilmu. Ibnu Muljam yang merupakan pembunuh Hadrat Ali r.a. adalah seorang yang banyak bersolat dan berzikir. Sehingga apabila orang-orang yang marah (atas pembunuhan Hadrat Ali r.a.) sebelum membunuhnya cuba memotong lidahnya, maka dia telah berkata, “Buatlah apa yang kamu mau, tetapi janganlah memotong lidah saya; dengannya saya boleh berzikir kepada Allah hingga ke akhir nafas saya dalam kehidupan ini.” Namun begitu Baginda Rasulullah saw. telah bersabda, “Pembunuh Ali adalah seorang yang paling buruk dan bernasib malang di kalangan umatku."
Talim dari madrasah telah didapati oleh Abul Fadhal dan Faizi juga. Ilmu dan kepandaian mereka begitu tinggi sehingga boleh menulis tafsir al-Quran walaupun dengan huruf yang tidak bertitik. Walhal merekalah yang telah menyesatkan Akbar [Maharaja India dari keluarga Mughal] dan merosakkan agama Islam. Jadi, bagaimanakah perkara yang ada pada Ibnu Muljam, Abul Fadhal dan Faizi boleh mencukupi untuk menjadi umat yang sebenar dan mendapat nusrah ghaibiah dari Allah Taala.
Hadrat Syah Ismail Syahid rah.a., Hadrat Syed Ahmad Syahid rah.a., dan rakan-rakan mereka kesemua adalah satu jamaah yang unggul dan paling baik dari segi keagamaan mereka. Apabila mereka sampai ke kawasan perbatasan [yakni utara-barat Pakistan yang diduduki oleh kaum Pathan], orang-orang di sana telah menjadikan mereka pembesar-pembesar mereka. Maka syaitan telah menimbulkan di dalam hati beberapa orang Islam di sana bahawa, “Mereka ini orang-orang luar, mengapakah mereka diberi kesempatan untuk mengetuai kami?” Maka mereka telah mengawali menentang orang-orang Islam yang teguh mengamalkan agama ini. Beginilah caranya orang-orang Islam menghancurkan perasan umat oleh sebab kedaerahan mereka. Maka Allah Taala telah memberikan pembalasan dan penyeksaan dengan memberi kuasa kepada orang-orang Inggeris ke atas mereka. Ini merupakan azab daripada Allah Taala.
Ingatlah! Bahwa perkataan, kaumku, daerahku, saudaraku dan yang seumpamanya, semuanya adalah perkataan yang memecahbelahkan umat! Perkataan dan semangat sebegitu rupa adalah sangat-sangat dibenci oleh Allah Taala sehingga sedikit kesilapan dari segi ini oleh seorang Sahabat yang begitu tinggi darjatnya seperti Saad ibnu Ubadah r.a. [yang jika tidak diberhentikan dengan serta-merta pada masa itu juga, maka akan wujud perpecahan antara Ansar dan Muhajir] telah dibalas oleh Allah Taala di dunia.
Terdapat riwayat bahawa Saad ibnu Ubadah r.a. telah dibunuh makhluk jin dan di Madinah telah kedengaran pengumuman seperti berikut, tetapi tidak kelihatan makhluk yang mengumumkannya:
[Kami telah membunuh ketua kaum Khazraj: Saad ibnu Ubadah; Kami telah menjadikannya sasaran anak panah kami yang telah memasuki jantungnya!]
Daripada peristiwa ini didapati suatu contoh dan pengajaran bahawa walaupun seseorang itu mempunyai serba-serbi kebaikan, tetapi jika ia melakukan kesalahan dengan menyebabkan perpecahan umat, maka Allah Taala tetap akan menghancurkannya.
Umat akan menjadi umat yang benar apabila setiap individu dan golongan di kalangan umat ini tanpa membeza-bezakan, memegang usaha yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah saw. Dan ingatlah bahawa perkara yang memusnahkan perasaan umat adalah keburukan dari segi muamalat dan muasyarat. Apabila satu individu atau satu golongan di kalangan umat ini menzalimi dan tidak berbuat adil dengan yang lain, tidak menunaikan hak-haknya, menyakitinya, memperkecilkannya atau menghinanya maka timbullah perpecahan dan perasaan umat akan hancur. Sebab inilah saya berkata bahawa umat ini tidak dapat dibentuk dengan hanya kalimah dan tasbih. Umat akan menjadi umat yang sebenar melalui pengislahan muamalat dan muasyarat, melalui menunaikan hak-hak semua pihak dan melalui bersifat ikram terhadap sekalian orang. Bahkan apabila untuk menunaikan hak-hak orang lain, hak-hak sendiri dikorbankan, barulah umat ini akan dapat dibentuk. Baginda Rasulullah saw, Hadrat Abu Bakar As-Siddiq r.a dan Hadrat Umar r.a. telah membentuk umat ini dengan cara mengorbankan kesemua kepunyaan mereka dan menanggung bermacam-macam kesusahan."
Pada zaman Hadrat Umar r.a. suatu ketika telah datang berjuta-juta dinar dan dirham dan mesyuarat telah diadakan untuk membahagi-bahagikannya. Pada masa itu umat sudah dibentuk; yang bermesyuarat itu bukanlah daripada suatu daerah atau satu kaum atau kabilah saja. Bahkan manusia daripada pelbagai kaum, kabilah dan daerah berada dalam syura tersebut yang terkenal sebagai orang-orang khawas dari segi persahabatan dengan Baginda Rasulullah saw. Melalui mesyuarat, mereka denga sepenuh perhatian telah membuat keputusan bahawa dalam pembahagian tersebut, yang paling banyak akan diberi ialah kepada kabilah baginda Rasulullah saw. Kemudian kepada ahli kabilah Hadrat Abu Bakar r.a. dan selepas itu kabilah Hadrat Umar r.a. Maka dengan keputusan ini, saudara mara Hadrat Umar r.a. telah mendapat kedudukan yang ketiga. Apabila keputusan ini telah dikemukakan kepada Hadrat Umar r.a., beliau tidak meluluskan keputusan tersebut lalu berkata, Apa juga yang diperolehi dan akan diperolehi oleh umat ini adalah kerana baginda Rasulullah saw. semata-mata. Jadi, dalam pembagian harta ini, kita akan hanya mempertimbangkan perkaitan hubungan dengan baginda Rasulullah saw sahaja. Kabilah yang paling dekat dengan baginda akan mendapat bahagian yang paling besar. Kemudian yang kedua, yang ketiga, yang keempat dan seterusnya. Jadi, bahagian yang terbanyak telah diberikan kepada Bani Hasyim. Kemudian Bani Abd Manaf, anak-anak Qasa, Kalab, Marra dan seterusnya. Mengikut tertib ini, kabilah Hadrat Umar r.a. sangat jauh terkebelakang dan bahagian yang diperolehi oleh mereka adalah terlalu sedikit. Tetapi Hadrat Umar r.a. tetap membuat keputusan ini. Beliau sendiri telah membelakangkan kabilahnya sendiri dengan pembahagian ini. Dengan cara beginilah umat ini telah dibentuk!
Untuk membentuk umat, apa yang mustahak ialah semua orang perlu mencuba supaya kesatuan hadir di kalangan umat dan supaya tidak timbul perpecahan. Maksud sebuah hadith Baginda Rasulullah saw , “Pada hari kiamat salah seorang akan dibawa kepada Allah Taala untuk pembalasan. Semasa hidup di dunia, orang itu telah mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa, mengerjakan haji, bertabligh dan lain-lain amalan yang baik. Tetapi dia akan diberi penyiksaan. Sebab, satu perkataan yang telah diucapkannya menyebabkan perpecahan di kalangan umat. Ia akan dihukum, “Rasakanlah penyiksaan untuk satu perkataan itu yang telah mendatangkan kerugian kepada umat.” Seorang lagi yang dihadapkan mempunyai mempunyai kekurangan dari segi solat, zakat, puasa, haji dan lain-lainnya dan dia dalam ketakutan akan azab Allah Taala, tetapi dia telah diberikan banyak pahala dan balasan baik sehingga dengan penuh kehairanan, dia sendiri akan bertanya, Untuk amalan saya yang mana satu, saya dimuliakan begini? Dia akan diberitahu, Pada masa dan keadaan sekian-sekian itu engkau telah mengucapkan satu perkataan yang telah menghentikan satu pergaduhan di kalangan umat yang ditahap perpecahan. Pada ketika perpecahan itu, umat telah kembali bersatu padu disebabkan perkataan kamu itu. Kesemua ini adalah pahala dan balasan untuk perkataan mu itu.
Di dalam membentuk umat dan juga merosakkan umat, peranan yang besar telah dimainkan oleh lidah. Lidah boleh menyenangkan hati orang, boleh juga ia menyakiti dan memecahkan hati. Cukup dengan satu perkataan salah yang keluar daripada lidah, maka menyebabkan penggunaan tongkat dan pergaduhan dan peperangan yang sempurna telah wujud. Demikian juga dengan satu perkataan sahaja boleh mendatangkan perdamaian dan perpaduan; ia boleh menyatukan hati-hati yang berpecah-belah. Oleh itu, perkara yang paling penting ialah lidah (percakapan) mesti dikawal supaya tidak disalahgunakan. Perkara ini hanya akan tercapai apabila seseorang itu sentiasa ada perasaan bahawa Allah ada bersama di setiap tempat dan juga Dia maha mendengar setiap perkataan yang diucapkan."
Di Madinah, pada zaman itu, ada dua kabilah Ansar, iaitu Aus dan Khazraj. Di antara keduanya telah terjadi pergaduhan dan peperangan sejak ratusan tahun. Apabila Rasulullah saw telah berhijrah dan sampai ke Madinah, orang-orang Ansar telah dikurniakan Allah dengan Islam. Maka dengan berkat Baginda dan Islam, pergaduhan dan peperangan itu telah terhenti dan Aus dan Khazraj telah hidup dengan aman dan damai. Melihat keadaan itu, orang-orang Yahudi telah membuat satu perancangan jahat supaya Aus dan Khazraj bergaduh dan berperang semula. Di dalam satu majlis yang dihadiri oleh orang-orang dari kedua kabilah tersebut, salah seorang (mengikut perancangan jahat tersebut) telah menyalakan api (menegangkan keadaan) dengan membaca satu syair mengenai peperangan mereka yang lama. Maka pada mulanya, mereka bertikam lidah antara satu sama lain dan akhirnya senjata telah dikeluarkan oleh kedua-dua pihak. Salah seorang telah segera mengadu kepada Baginda Rasulullah saw. Baginda saw. dengan serta merta datang ke tempat kejadian, lalu bersabda, Kamu hendak berperang sesama sendiri, sedangkan aku masih berada di kalangan kamu? baginda telah berkhutbah dengan ringkas tetapi penuh dengan semangat dan perasaan susah hati. Mereka telah memahami kesilapan masing-masing. Mereka telah sedar bahawa syaitan telah memerangkap mereka dengan perancangan jahat. Kedua-dua belah pihak telah menangis dan memeluk antara satu sama lain. Ayat suci telah diturunkan oleh Allah Taala:
(Seolah-olah Allah memaksudkan) Wahai orang-orang yang beriman! Takutilah Allah sepertimana yang harus kamu takuti kepada-Nya dan sampai ke nafas kamu yang terakhirlah kamu hidup sebagai hamba yang menyerah diri dan mentaati Allah.
Jadi, apabila manusia sentiasa ingat pada Allah, takut kepada kemurkaan-Nya dan sentiasa mentaati-Nya, maka syaitan pun tidak ada kesempatan untuk menyesatkannya dan umat akan terselamat dari semua pergaduhan dan keburukan yang lain.
(Seolah-olah Allah memaksudkan) Dan berpeganglah kamu sekalian secara berjemaah dengan tali Allah yakni kitab Allah dan agama-Nya dengan teguh; yakni dengan sifat IJTIMAIYYAT yang sempurna serta sifat perasaan umat, berpegang kepada agama dan berpautlah kepadanya. Jangan menjadi berpecah-belah atas perkauman atau kedaerahan atau dari segi bahasa. Dan janganlah melupakan ihsan Allah yang mana Allah Taala telah menghapuskan permusuhan yang telah berkekalan sesama sendiri di kalangan kamu dan telah menyatukan hati-hati kamu dan telah menjadikan persaudaraan satu sama lain. Semasa kamu berperang sesama sendiri, kamu sebenarnya telah menghampiri neraka sehingga kamu telah hampir jatuh ke dalamnya; Allah Taala telah memegang kamu dan telah menyelamatkan kamu dari neraka.
Syaitan memang ada bersama kamu. Penyelesaian masalah ini adalah di tangan kamu. Kamu seharusnya berada di dalam satu golongan yang tugasnya hanyalah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada keburukan dan fasad.
Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Surah Al Imran: 104)
Di kalangan umat harus ada satu golongan yang tugasnya menyeru manusia kepada agama dan segala jenis kebaikan; mereka harus meneruskan usaha untuk iman, untuk kebaikan dan kebajikan, mereka perlu usaha atas solat, atas zikir, atas ilmu yang telah di bawa oleh Rasulullah saw. Mereka juga perlu usaha untuk selamatkan manusia dari keburukan dan segala jenis maksiat. Melalui usaha sedemikian rupa umat akan berkekalan sebagai umat yang bersatu-padu.
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. (Surah Al Imran: 105)
Sesiapa yang selepas menerima kesemua nasihat-nasihat ini, dan masih meneruskan untuk mengikut jalan syaitan, berjalan secara berasingan, menimbulkan perlawanan dan merosakkan perasaan dan perpaduan umat, maka bagi mereka ada penyeksaan yang keras.
Kesemua ajaran dan perkara-perkara dalam agama mempunyai JORD (kesatuan) dan juga untuk kesatuan dan perpaduan. Di dalam solat ada Jord, dalam puasa ada Jord. Dalam haji ada Jord bagi pelbagai kaum dan bangsa dan negara dan manusia yang bercakap dalam berbagai-bagai bahasa. Di dalam halaqah talim ada Jord. Sifat ikram (memuliakan) orang-orang Islam dan mencintai orang-orang Islam, memberi dan menerima hadiah antara satu sama lain, kesemua ini adalah yang mendatangkan kesatuan dan yang membawa ke syurga. Mereka yang membuat usaha untuk kesemua amalan ini akan mendapati wajah mereka berseri-seri pada hari Hisab."
Dan sebaliknya, benci, hasad, dengki, mengumpat, menghasut, menghinakan orang, mengecilkan hati orang dan menyakiti hati orang, kesemua ini adalah perbuatan yang menyebabkan perpecahan dan membawa ke neraka. Mereka yang melakukan perbuatan tersebut akan dihinakan pada hari Hisab.
(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa Neraka disebabkan kekufuran kamu itu. Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya. (Surah Al-'Imran: 106-107)
Mereka yang telah memecah-belahkan dan menjalani perbuatan yang memecah-belahkan, telah menghancurkan perasaan umat, maka pada hari kiamat mereka akan bangkit dari kubur masing-masing dengan muka yang hitam; mereka akan diberitahu bahawa kamu telah mengambil cara-cara orang kafir setelah kamu dikurniakan dengan Iman dan Islam. Jadi, rasailah kamu di sini azab neraka sepertimana telah kamu kufurkan. Dan mereka yang ikut jalan yang betul, wajah-wajah mereka akan bercahaya dan berseri-seri. Untuk selama-lamanya mereka akan berada di dalam rahmat Allah Ta'ala dan syurga."
Saudara-saudaraku dan teman-temanku sekalian! Kesemua ayat-ayat ini telah diturunkan pada masa orang-orang Yahudi telah cuba untuk memecah-belahkan orang-orang Ansar dan menjadikan dua kabilah Ansar bermusuhan antara satu sama lain. Di dalam ayat-ayat tersebut, perpecahan, pergaduhan dan berperang antara satu sama lain di kalangan umat telah disifatkan sebagai kufur dan telah diberi ancaman untuk azab di akhirat.
Pada hari ini di seluruh dunia telah berlaku usaha untuk memecah-belahkan perasaan sebagai satu umat. Jalan penyelesaian dan perkara yang boleh mengatasinya ialah hendaklah kamu menyibukkan diri kamu sendiri dalam usaha Baginda Rasulullah s.a.w. Hendaklah kamu mengajak orang-orang Islam ke masjid. Hidupkanlah perbincangan tentang iman. Dirikanlah halqah Ta'lim dan Zikir. Bermesyuaratlah mengenai usaha agama. Telah terbukti bahawa pelbagai kaum, keturunan dan manusia dari berbagai-bagai daerah dan yang bercakap berbagai-bagai bahasa telah bersatu padu melalui amalan-amalan ini di Masjid Nabawi.
Perasaan perpaduan umat akan hidup apabila kamu akan mengelakkan diri dari perkara-perkara yang memberi peluang kepada syaitan untuk memecah-belahkan kamu. Apabila tiga orang duduk bersama, maka hendaklah kamu ingat bahawa yang keempat bersama kamu adalah Allah s.w.t. Apabila ada empat atau lima orang duduk bersama, maka hendaklah kamu selalu ingat bahawa Allah s.w.t bersama kamu sebagai yang kelima atau yang keenam; Dia mendengar setiap perkataan kamu dan Dia melihat sama ada kamu berbincang untuk perpaduan umat ataupun kamu memecahbelahkan umat. Adakah kamu sedang mengumpat atau menghasut, atau membuat perancangan jahat untuk orang lain.
Umat ini telah dibentuk dengan tumpahan darah Baginda Rasulullah s.a.w dan kelaparan Baginda s.a.w, sementara kita hari ini memecahbelahkan umat atas perkara-perkara kita yang kecil. Ingatlah bahawa meninggalkan solat Jumaat pun tidak akan datang begitu banyak keburukan seperti yang berlaku akibat memecah-belahkan umat. Apabila akan datang perasaan perpaduan umat di kalangan orang-orang Islam, maka tidak sekali-kali mereka akan dihinakan di dunia ini. Kekuatan Russia dan Amerika juga akan tunduk di hadapan mereka. Dan perasaan umat akan hanya datang apabila diamalkan atas ayat:
Bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman.. (Surah al-Maidah: 54)
Yakni, setiap orang Islam disisi orang Islam yang lain akan mengecilkan, merendahkan, dan menghinakan diri dan akan berkelakuan lemah-lembut terhadapnya. Di dalam tabligh harus kita melatihkan diri untuk perkara ini. Apabila akan datang sifat di kalangan orang-orang Islam, maka di dunia mereka akan menjadi:
Maksudnya: ..berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir.. (Surah al-Maidah: 54)
Yakni, ia akan dimuliakan berbanding dengan orang-orang kafir. Ia akan dikurniakan Allah s.w.t dengan kehebatan dan kemenangan ke atas orang-orang kafir.

No comments:

Post a Comment